Friday, April 29, 2011

SAINS ISLAM DAN SAINS BARAT

Islam tidak pernah mengetepikan sains. Sains mengikut Encarta Encyclopedia ialah, “Systematized knowledge in any field, but applied usually to the organization of objectively verifiable sense experience.” Ia bermaksud, “Sains dalam skop yang luas bermaksud ilmu-ilmu yang diperoleh secara sistematik berdasarkan pengalaman deria yang dapat dibuktikan secara objektif.”

Secara umumnya, sains boleh didefinisikan sebagai ilmu yang dihasilkan melalui cerapan (iaitu analisis dengan menggunakan panca indera) serta fahaman yang lahir daripadanya. Ia juga boleh diertikan sebagai huraian secara sistematik tentang fenomena tabii atau alam semula jadi. Huraian secara sistematik melibatkan penggunaan intelek di samping kaedah yang dapat diukur (quantitative). Jika diamati definisi-definisi ini, ia memang telah ditekankan oleh Islam berdasarkan dalil-dalil dan nas yang telah disebutkan sebelum ini.

Ilmu sains melahirkan teknologi. Teknologi (mengikut Merriam-Webster Dictionary, The American Heritage Dictionary of the English Language: Fourth Edition dan WordNet Dictionary), boleh didefinisikan sebagai, “Pengaplikasian atau penggunaan ilmu terutamanya ilmu sains secara praktikal dan digunakan terutamanya dalam bidang perdagangan dan industri untuk kemanfaatan manusia.” Justeru, ilmu sains merupakan alat penting untuk membina teknologi namun ilmu sains bukanlah teknologi. Sebagai contoh, sains membicarakan tentang teori atom dan daripada itu lahirlah teknologi yang menghasilkan kuasa atom.

Islam memberi kebebasan kepada para saintis untuk mengkaji, namun ia menyedari keterbatasan intelek yang dimiliki manusia. Justeru, sains Islam menjadikan wahyu sebagai sumber rujukan yang tertinggi. Dalam erti kata yang lain, dalam Islam, wahyu mengatasi akal kerana wahyu datang daripada kuasa tanpa batas sedangkan akal terbatas. Sains tidak boleh mengatasi wahyu. Apa-apa konklusi yang bercanggah dengan dasar-dasar wahyu dianggap sebagai konklusi sains yang salah dan apa-apa yang selari dengannya bolehlah diterima. Dalam hal ini Allah berfirman dalam surah al-Jathiyah ayat 20, “Al-Quran ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang meyakini.”

Justeru, sains dalam Islam ialah sains yang berkonsepkan tauhid. Sains dalam Islam tunduk kepada prinsip-prinsip yang ditetapkan Allah melalui rasulnya. Sains dalam Islam tunduk kepada al-Quran.
Di barat konsep yang merujukkan sains kepada Tuhan, wahyu dan kuasa ghaib dikenali sebagai creationism. Kadang kala ia dikenali juga sebagai intelligent design. Konsep-konsep ini ditolak oleh ramai saintis di barat. Sebagai contoh, para saintis daripada Akademi Sains Kebangsaan di Amerika (The U.S. National Academy of Sciences) menegaskan bahawa “sebarang kenyataan yang menetapkan bahawa asal usul kehidupan ini ada perkaitan dengan kuasa ghaib (supernatural intervention) tidak boleh diiktiraf sebagai sains.” Hal ini dinyatakan dalam Science and Creationism: A View from the National Academy of Sciences, Second Edition, terbitan National Academy of Sciences tahun 1999.

Dalam kes Kitzmiller lawan Dover Area School District pada tahun 2005 (Case No. 04cv2688. December 20, 2005), sebuah mahkamah persekutuan di Amerika memutuskan mana-mana sekolah yang mengajar sains dan mengaitkan kejadian kehidupan dengan kuasa ghaib dan mengetepikan teori evolusi, ia dianggap telah melanggar perlembagaan Amerika.

Dalam Islam, sains mempunyai matlamatnya. Matlamat jangka pendek ialah mengenali hakikat kejadian alam serta manusia dan memanfaatkan ilmu itu untuk kebaikan semua. Sebagai contoh, melalui sains kita mengetahui bahawa seks kromosom lelaki menentukan kejantinaan seseorang bayi, kejadian bayi bermula dengan persenyawaan antara sperma lelaki dan ovum wanita, kejadian bumi berlaku selepas kejadian bintang-bintang di langit dan yang seumpamanya. Namun akhirnya yang menjadi keutamaan ialah matlamat jangka panjang iaitu mengagungkan dan membesarkan Allah. Hal ini terserlah dalam surah al-Mukminun ayat 14 yang bermaksud, “Kemudian Kami menjadikan benih nuthfah itu alaqah. Kemudian daripada alaqah Kami jadikan mudghah. Kemudian daripada mudghah Kami jadikan tulang dan Kami tutup tulang itu dengan daging. Kemudian Kami jadikannya makhluk berbentuk lain. Maha suci Allah, sebaik-baik Pencipta.” Perhatikanlah ayat ini dengan baik. Selepas Allah menceritakan fasa-fasa kejadian bayi (dan hal ini dapat disahkan oleh sains), Allah mengakhiri ayat itu dengan ungkapan, “Maha suci Allah, sebaik-baik Pencipta.” Inilah matlamat asasi sains, iaitu untuk mengagungkan Allah.

Untuk mencapai matlamat ini metodologi yang digunakan perlulah betul. Sains berkonsepkan tauhid melahirkan metodologi atau pendekatan yang mengambil kira syariat. Kepatuhan kepada syariat tidak menghalang kreativiti dan inovasi kerana kebebasan untuk mengkaji telah pun diberikan Islam berdasarkan sabda nabi yang bermaksud, “Kamu lebih tahu tentang urusan duniamu.” Yang dituntut ialah kepatuhan kepada prinsip-prinsip syariat yang akan mencantikkan sains. Sebagai contoh syariat mengutamakan nyawa manusia. Justeru kajian sains dan teknologi yang terhasil daripadanya tidak boleh digunakan untuk memusnahkan nyawa. Syariat juga melarang kemudaratan dilakukan berdasarkan sabda nabi yang bermaksud, “Tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh membalas dengan kemudaratan.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Malik, Al-Hakim, Baihaqi dan Ibn Majah.

Islam juga menekankan tentang akhlak. Antara akhlak yang wajib dihayati ialah sikap bertanggungjawab ataupun amanah. Amanah ini melibatkan individu, alam sekitar dan masyarakat secara amnya. Lihatlah apa yang berlaku pada hari ini apabila sains dan teknologi terbabas daripada nilai-nilai amanah dan agama. Sebagai contoh, bidang bioteknologi telah melahirkan satu konsep baru yang dikenali sebagai kejuruteraan genetik (genetic engineering). Teknologi ini mampu memindahkan bahan genetik yang bernama DNA dari satu spesies ke spesies yang lain. Walau bagaimanapun untuk berjaya, proses ini memerlukan bantuan virus tertentu agar DNA daripada spesies yang berbeza dapat mengenali antara satu sama lain. Penggunaan kuman-kuman virus ini akhirnya menyebabkan kelahiran pelbagai kuman serta penyakit baru yang mampu membunuh manusia. Mengikut Dr Mae-Wan Ho, pengarah Bioelectrodynamics Laboratory di Open University, United Kingdom, kejuruteraan genetik telah menyebabkan wabak kolera menyerang India pada tahun 1992, wabak kuman streptococcus di Tayside pada tahun 1993 dan wabak kuman E. Coli 157 di Scotland.
Justeru, kepatuhan kepada syariat adalah penting agar sains tidak terbabas daripada landasan kebenaran dan kesejahteraan

Hasil Nukilan :

Dr. Danial Zainal Abidin

Thursday, April 28, 2011

KHUTBAH TERAKHIR NABI MUHAMMAD SAW.

Kutbah ini disampaikan pada 9 Zulhijah Tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah.

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kata ku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap muslim sebagai amanah suci.

Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Jangan kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi.

Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu.

Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu.

Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.

Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarkanlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadan!, dan tunaikan zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadat haji sekiranya kamu mampu.

Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah saudara kepada muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorangpun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.

Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak akan ada lagi Nabi dan Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru.

Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kata ku yang telah aku sampaikan kepada kamu.

Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al Quran dan Sunnah ku.

Hendaknya orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dari ku.

Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah ku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hambaMU.

Wednesday, April 27, 2011

What do you think ?

Helping other people get what they want is fun but getting people do what they do not want to do is effort. Hence change our approach and work at the right thing in the right way.

Friday, April 22, 2011

MIMBAR JUMAAT :BAHAYA ARAK

Arak termasuk dalam jenis minuman keras. Antara sebab pengharaman arak oleh syarak kerana ia memabukkan dan boleh menghilangkan akal orang yang meminumnya. Perbuatan meminum arak adalah termasuk dari perbuatan syaitan yang dipandang keji oleh syarak.

Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Maidah, ayat 90 yang bermaksud,

” Wahai orang yang beriman!. Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan bertenung nasib dengan anak-anak panah adalah perkara keji yang termasuk perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya agar kamu berjaya.”

Setiap yang memabukkan dan menghilangkan akal fikiran itu haram hukumnya. Sabda Rasulullah S.A.W dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud, Dari Ibnu Umar r.a bahawa Nabi S.A.W bersabda;

” Setiap yang memabukkan dinamakan khamar (arak) dan setiap yang memabukkan haram hukumnya.”

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakim yang bermaksud; “Dari Ibnu Abbas berkata; Rasulullah SAW bersabda;

“Jauhilah arak kerana ia adalah kunci segala kejahatan“

Imam Abu Laits berkata;

“Jauhilah diri daripada arak kerana ia mengandungi banyak keburukan iaitu orang yang minum arak akan menjadi seperti gila. Allah S.W.T akan menutup pintu langit kepada orang yang meminum arak dan amalannya serta doanya tidak akan diterima selama 40 hari. Orang yang minum arak akan dijauhi daripada rahmat Allah S.W.T dan dibenci oleh para malaikat.”

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkanoleh AlHakim yang bermaksud;

“Apabila seseorang melakukan zina atau minum arak, maka Allah mencabut imamnya seperti mana orang yang menanggalkan baju melalui kepalanya”.

Kesimpulannya, arak adalah ibu segala maksiat. Sebagai seorang mukmin , kita wajib menghindari diri daripada terlibat atau terjerumus ke dalam lembah maksiat seperti minum arak , berjudi, berzina, menipu,pecah amanah, mengamalkan rasuah dan sebagainya lagi yang mengundang kemurkaan allah SWT.

FAKTA:
•Orang yang meminum arak seolah-olah seperti orang gila.
•Allah SWT akan menutup pintu langit kepada orang yang meminum arak.
•Amalan serta doanya tidak akan diterima Allah SWT selama 40 hari.
•Orangyang meminum arak akan dijauhi dari rahmat Allah SWT.

Terbitan: Jabatan Mufti Negeri Pahang

KEPUTUSAN KEMASUKAN KE Program Matrikulasi Sesi 2011/2012

Keputusan kemasukan ke Program Matrikulasi akan diumumkan pada 28 April 2011. Sila semak di Portal Bahagian Matrikulasi. Pelajar yang ditawarkan ke Program Matrikulasi KPM Sesi 2011/2012 di Kolej Matrikulasi Melaka akan mula mendaftar pada 23 Mei 2011.

Thursday, April 21, 2011

Abu Raihan Al-Biruni Pakar Ilmu Fizik

Namanya tidak asing lagi di pentas ilmu sains pada abad pertengahan. Dunia sains mengenalnya sebagai salah seorang putera Islam terbaik dalam bidang falsafah, astronomi, kedoktoran, dan FIZIK. Wawasan dan pengetahuannya yang demikian luas, meletakkan dirinya sebagai pakar dan ilmuwan Muslim tersohor pada awal abad pertengahan. Ilmuwan tersebut tidak lain adalah Al-Biruni.

Nama penuhnya Abu Raihan Muhammad ibn Ahmad Al-Biruni, dilahirkan pada bulan September tahun 973 M, di perkampungan Khawarizm, Turkmenistan. Ia kemudian lebih dikenali dengan nama Al-Biruni. "Al-Biruni" yang bermaksud 'asing', adalah dinisbahkan kepada wilayah tempat tanah kelahirannya, iaitu Turkmenistan. Pada masa itu, kawasan ini sememangnya dikhaskan untuk penempatan orang-orang asing. Dibesarkan dalam keluarga yang taat beragama, Al-Biruni menghabiskan usia mudanya dalam persekitaran masyarakat yang mencintai ilmu pengetahuan.

Walaupun tidak banyak catatan sejarah yang mengisahkan latar belakang pendidikannya, namun beberapa sumber menyebutkan bahawa ilmuwan ulung ini memperoleh pendidikan daripada beberapa ulama kenamaan pada zamannya, antara lain Syeikh Abdus Shamad. Dalam bidang kedoktoran, ia belajar dengan Syeikh Abul Wafa' Al-Buzayani, serta kepada Syeikh Abu Nasr Mansur bin Ali bin Iraqi dalam bidang matematik dan astronomi. Tidak hairan apabila beliau dikenali sebagai seorang ahli dalam pelbagai bidang ilmu semenjak usia muda.


Sebagai ilmuwan ulung, Al-Biruni tidak pernah berhenti menerokai dan mendalami bidang ilmu, termasuk dalam setiap pengembaraanya ke beberapa negeri, seperti ke Iran dan India. Jamil Ahmed dalam buku Seratus Tokoh Muslim mengungkapkan, antara pengembaraan yang paling menarik tokoh ini adalah semasa di wilayah Jurjan, dekat Laut Kaspia (Asia Tengah), serta wilayah India. Penjelajahan itu sebenarnya tidak disengajakan. Alkisah, setelah beberapa lama menetap di Jurjan, Al-Biruni memutuskan untuk kembali ke kampung halamannya. Namun tidak disangkanya, tanah kelahirannya dilanda oleh konflik antara etnik. Keadaan ini dimanfaatkan oleh Sultan Mahmoud Al-Gezna, yang melakukan penaklukan ke wilayah Jurjan. Penaklukan ini menyebabkan Al-Biruni dipilih oleh Sultan Mahmoud sebagai 'kumpulan pemikir' yang kemudiannya dibawa menyertai ekspedisi ketenteraan ke India. Di sana beliau banyak melahirkan karya dan tulisan, sama ada dalam bentuk buku mahupun artikel ilmiah yang disampaikannya dalam perjumpaan. Selain menghasilkan karya, penjelajahan bersama Sultan ini juga menjadikan kawasan India sebelah timur sebagai kawasan baru untuk menyebarkan dakwah Islamiah.

Sepanjang pengembaraannya di India, Al-Biruni memanfaatkan masa terluang melakukan kajian berkaitan adat istiadat dan budaya masyarakat tempatan. Berasaskan kajiannya inilah beberapa karya agungnya lahir. Bukan itu sahaja, Al-Biruni jugalah orang yang pertama memperkenalkan permainan catur 'ala' India ke negara-negara Islam, serta menjelaskan permasalahan trigonometri yang lebih mendalam dalam karyanya, Tahqiq Al-Hind. Kecerdikan Al-Biruni merangsang dirinya mendalami ilmu astronomi. Beliau misalnya turut menjelaskan tentang kemungkinan pergerakan bumi mengitari matahari. Malangnya, buku beliau yang mengupas perkara ini hilang. Namun ia berpendapat, sebagaimana pernah ia sampaikan dalam suratnya kepada Ibnu Sina, bahawa pergerakan eliptis adalah lebih memungkinkan daripada gerak melingkar yang dilakukan lanet.

Al-Biruni konsisten mempertahankan pendapatnya tersebut, dan ternyata pada kemudian harinya pendapat ini terbukti kebenarannya sebagaimana yang dibuktikan oleh ilmu astronomi moden. Sebagai seorang yang gemarkan membaca pelbagai bidang ilmu, kepakaran Al-Biruni tidak hanya dalam bidang ilmu sains. Beliau juga mahir dalam ilmu falsafah. Kerana itu, ia dikenali sebagai salah seorang ahli falsafah Islam yang amat berpengaruh. Pemikiran falsafah Al-Biruni banyak dipengaruhi oleh pemikiran falsafah Al-Farabi, Al-Kindi, dan Al-Mas'udi (meninggal 956 M). Hidup sezaman dengan ahli falsafah dan pakar ilmu perubatan, Ibnu Sina, Al-Biruni banyak berdialog dengan Ibnu Sina, sama ada secara langsung mahupun melalui surat menyurat. Keduanya kerap juga bermuzakarah berkaitan pemikiran falsafah, misalnya tidak bersetuju dengan aliran pemikiran paripatetik yang dianuti Ibnu Sina dalam banyak aspek. Al-Biruni memperlihatkan kecenderungan tidak menerima bulat-bulat falsafah pemikiran Aristotel dan berfikir secara kritikal terhadap beberapa hal dalam teori fizik paripatetik, seperti berkaitan dengan masalah gerak dan tempat. Ini kerana semua yang dilakukannya itu selalunya berlandaskan pada prinsip-prinsip Islam, serta meletakkan sains sebagai alat untuk menyingkap rahsia alam.

Hasil kajian dan penelitiannya akhirnya adalah untuk mengakui akan wujudnya Allah sebagai maha pencipta. Menurut Al-Biruni jika seorang ilmuwan ingin membezakan kebenaran dan kepalsuan, dia perlu menyelidiki dan mempelajari alam. Dalam bukunya Al-Jamahir, Al-Biruni juga menegaskan, "Penglihatan adalah penghubung apa yang kita lihat dengan tanda-tanda kebijaksanaan Allah dalam ciptaan-Nya. Daripada penciptaan alam tersebut kita akan menemukan kewujudan Yang Maha Pencipta". Pandangan Al-Biruni ini tentu berbeza sekali dengan pandangan saintis Barat pada zaman moden ini yang mengenepikan sains daripada agama. Pandangan mereka tentang alam seolah-olah menafikan keberadaan Allah sebagai pencipta.

Kejayaan Al-Biruni dalam bidang sains dan ilmu pengetahuan ini turut mendapat pujian ilmuwan Barat. Max Mayerhof misalnya menyatakan, "Abu Raihan Muhammad ibn Al-Biruni digelar sebagai ahli kedoktoran, astronomi, matematik, ilmu fizik, geografi , dan sejarah. Dia mungkin paling menonjol dan peneraju zaman keemasan ilmu pengetahuan Islam." Pengakuan yang sama juga dinyatakan oleh ahli sejarah asal India, Si JN Sircar. Beliau menulis "Hanya sedikit yang memahami fizik dan matematik. Di antara yang sedikit itu yang terbesar di Asia adalah Al-Biruni, sekaligus ahli falsafah dan ilmuwan. Ia pakar dalam kedua bidang tersebut." Tokoh dan ilmuwan ulung ini akhirnya menghadap Ilahi Rabbi pada 1048 M, semasa berusia 75 tahun.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...