Friday, April 22, 2011

MIMBAR JUMAAT :BAHAYA ARAK

Arak termasuk dalam jenis minuman keras. Antara sebab pengharaman arak oleh syarak kerana ia memabukkan dan boleh menghilangkan akal orang yang meminumnya. Perbuatan meminum arak adalah termasuk dari perbuatan syaitan yang dipandang keji oleh syarak.

Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Maidah, ayat 90 yang bermaksud,

” Wahai orang yang beriman!. Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan bertenung nasib dengan anak-anak panah adalah perkara keji yang termasuk perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya agar kamu berjaya.”

Setiap yang memabukkan dan menghilangkan akal fikiran itu haram hukumnya. Sabda Rasulullah S.A.W dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud, Dari Ibnu Umar r.a bahawa Nabi S.A.W bersabda;

” Setiap yang memabukkan dinamakan khamar (arak) dan setiap yang memabukkan haram hukumnya.”

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakim yang bermaksud; “Dari Ibnu Abbas berkata; Rasulullah SAW bersabda;

“Jauhilah arak kerana ia adalah kunci segala kejahatan“

Imam Abu Laits berkata;

“Jauhilah diri daripada arak kerana ia mengandungi banyak keburukan iaitu orang yang minum arak akan menjadi seperti gila. Allah S.W.T akan menutup pintu langit kepada orang yang meminum arak dan amalannya serta doanya tidak akan diterima selama 40 hari. Orang yang minum arak akan dijauhi daripada rahmat Allah S.W.T dan dibenci oleh para malaikat.”

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkanoleh AlHakim yang bermaksud;

“Apabila seseorang melakukan zina atau minum arak, maka Allah mencabut imamnya seperti mana orang yang menanggalkan baju melalui kepalanya”.

Kesimpulannya, arak adalah ibu segala maksiat. Sebagai seorang mukmin , kita wajib menghindari diri daripada terlibat atau terjerumus ke dalam lembah maksiat seperti minum arak , berjudi, berzina, menipu,pecah amanah, mengamalkan rasuah dan sebagainya lagi yang mengundang kemurkaan allah SWT.

FAKTA:
•Orang yang meminum arak seolah-olah seperti orang gila.
•Allah SWT akan menutup pintu langit kepada orang yang meminum arak.
•Amalan serta doanya tidak akan diterima Allah SWT selama 40 hari.
•Orangyang meminum arak akan dijauhi dari rahmat Allah SWT.

Terbitan: Jabatan Mufti Negeri Pahang

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...